MENCARI MAKNA SEORANG PEJUANG
Tatkala sajak ini kutulis
kau telahpun di jemput
menemui-Nya.
Tandus padang pasir
tak mengeringkan bunga-bunga di pusara
tak mencairkan semangat jihad
dalam genggaman hasrat yang jitu
kental penuh tawakal.
Saat dibogelkan dengan aneka sekatan
dan pelbagai syarat perjanjian
terpenjara di laman sendiri
kau akur duduk bersimpuh
pasrah di meja diplomasi.
Di luar sana
jentera berat baru saja
meroboh dan memusnah
rumah-rumah yang tak menyimpan
sebarang dendam.
Kepulanganmu saudaraku ;
melorongkan kekuatan
roh perjuangan yang kau tinggalkan
pasti membara dan menyala
membakar dinding kesombongan
sebuah bangsa yang kontang budi
dan tandus siasah.
Ketabahanmu, saudaraku;
banyak mengajar aku
makna perjuangan yang abadi
pengorbanan yang hakiki.
Nyatalah
manusia semakin nipis
KEMANUSIAANNYA...
Berita Minggu
2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan