Isnin, 18 April 2011

SELAMAT BERSARA BUAT JUM

PAGI INI TIBA-TIBA

UNGGAS JADI BISU

KOKOKAN AYAM TADI SUBUH

SEPI DAN LESU

AWAN MERATAP BAGAI NAK GUGUR MEMBASAH BUMI

BAYU LEMBUT MEMBISIKKAN CERITA

KITA BAKAL KEHILANGAN SESEORANG

MURID-MURID AKAN KEHILANGAN SEORANG GURU

YANG BANYAK BERJASA

PADA PERTIWI NUSA DAN BANGSA.

JUSTERU,

HARI INI KITA BERKUMPUL

SEBAGAIMANA HARI-HARINYA

KITA BERKUMPUL MERAIKAN

SEORANG RAKAN SEJAWATAN

SEORANG KAWAN SEPERMAINAN

LEWAT DIARI PERKHIDMATAN

DALAM ARENA PEKERJAAN.

NAMANYA JUMANI

LEBIH MESRA DIPANGGIL JUM

DIA SAHABAT YANG TAK BANYAK CERITA

TAPI DIA MAMPU MELUAHKAN SEGUNUNG IMPRESI

WATAKNYA LOW PROFILE DAN MERENDAH DIRI

DIA JUGA SEORANG SAHABAT YANG AKRAB

MENENUN JALUR-JALUR WAWASAN

DALAM MENGISI KANTUNG KEHIDUPAN

PASCAPERKHIDMATAN.

YA, ...HARI INI KITA BERSAMANYA

BUKAN SEKADAR MERAIKAN KEJAYAANNYA

MENGHABISKAN SISA-SISA PERKHIDMATAN

ATAU BERJAYA MELEPASI UMUR PERSARAAN

TAPI KITA TURUT MERASA DEGUP JANTUNGNYA

MENGEMBARA DARI DESTINASI KE SATU DESTINASI

MENITI ONAK DURI DI PENTAS PENDIDIKAN.

CIKGU JUM

SELAMAT MENAMATKAN ZAMAN PERKHIDMATAN,

MEMULAKAN DIARI HARIAN

RUTIN KEHIDUPAN DI ALAM PERSARAAN.

SELAMAT MEMASUKI GERBANG PERSARAAN, JUM

PULUHAN TAHUN MENGGALAS AMANAH DI DUNIA PEKERJAAN

MERASAI ANEKA WARNA-WARNI PENGALAMAN

MELUNAS TANGGUNGJAWAB MEMACU MINDA ANAK-ANAK

KE PENTAS DUNIA.

SEPILAH HIDAYAH TANPA JUM DI SISI

MENANGISLAH MINDA ANAK-ANAK

MENANTI BERKAT SUAPAN ILMU HIKMATMU.

JUMANI,

KITA SEMPAT BERKONGSI KENANGAN

KETIKA MAKAN-MAKAN DAN SEMBANG-SEMBANG

DI KANTIN ATAU DI MANA SAJA

KAU BANYAK BERCERITA ZAMAN SILAM

YANG KETIKA-KETIKANYA TERSANDUNG DI BANIR PUJI

NAMUN KERAP JUGA TERJELEPUK DI KAKI KEJI.

SELAMAT MEMASUKI GERBANG PERSARAAN

MENAMATKAN ZAMAN PERKHIDMATAN

SELAMAT MENJALANI KEHIDUPAN

MELANGKAH KE DUNIA HAKIKI

MENCARI KETENANGAN DI RUMAH ABADI.


JUMANI

LEWAT MAJLIS MERAIKANMU

AKU TERTANYA-TANYA

ADAKAH TUHAN MEMBERI KESEMPATAN WAKTU

UNTUK AKU MENJENGUK KE JENDELA

DAN MENATAP LANGIT PAGI

DENGAN WAJAH SERIBU CAHAYA.


SeriKandi

18 April 2011





Sabtu, 5 Februari 2011

TERIMA KASIH

TERIMA KASIH, IBU

Terima kasih, ibu
kerana melahirkan aku
menjadi anak berakal
dan mengerti nilai budi.

Terima kasih, ibu
kerana meminjamkan payahmu
hingga aku mengerti
makna sebuah budi

Terima kasih ayah
atas keringatmu
membesarkan akal kecilku
hingga aku dewasa
dalam lautan kasihmu.

Terima kasih ibu ayah
kerana menyelamatkanku
dari dibuang ke longkang
dan ke rumah kebajikan.

Khamis, 29 Oktober 2009

Sajak 1 Malaysia

TAJUK : ANAK-ANAK, DENGARLAH BISIKAN HATI NURANI AYAHANDA


Ketika sajak ini ditulis
pastinya kalian sedang lena
di kamar milik bonda.

Menyaksikan anak-anak membesar dan dewasa
aku jadi bangga,
anak -anak kita sudah banyak yang berjaya
mencipta nama melakar sejarah
di pucuk dunia.

Dalam ghairah mengejar nama
Pernahkah kalian bertanya
betapa moyang-moyang kalian
dengan gigih tabah
membina rumah pusaka ini?

Tanyalah pada anak-anak yang lena itu
meski mereka bukan dari rumpun yang satu
berbeza budaya, ideologi dan kepercayaan
tapi kita saling merelakan
dan menerima semua perbezaan
dengan satu kekuatan.

Walau kita berbeza warna dan bahasa
hala dan tuju
matlamat tetap satu
melakar Malaysia baru
menjana negara maju
membangun negara bangsa
dengan cahaya citra Malaysia.

Panjatkanlah kesyukuran
teruskan semangat membara
rajin berusaha
menyemai bakti
di tanah bertuah
menuai penat lelah
dengan semangat
1 Malaysia bermaruah



SMK Seri Kandi
29Okt 2009

Rabu, 30 September 2009

SAJAK - WANITA ADALAH IBU KITA

WANITA

Wanita adalah isteri penglipur duka suami
penyaji luhur dalam sibuk anak-anak di dapur
lengggangmu kangkung menjalar
ombak resah laut cabar
diharung penuh sabar.

Wanita adalah pencetus yang tak nampak
antara lembut bicara dan santun tangan membelai
wajah bahagia terpancar dari rukun mahligai.

Meski iklim rumah tangga tak selamanya indah
suara deritamu tak pernah terdengar
senyum tawamu tetap manis memukau
lenggang atur tetap seperti dulu
sebening bayu berlalu.

Dalam rancak mengemudi perahu hidup
melayan anak-anak yang kian membesar
kadang-kala kau terlupa
kembaramu kian hampir
menuju pelabuhanNya.

Wanita itu adalah ibuku
yang mendewasakanku
jadi lelaki yang kaya budi
meski seluruh hidupnya
dibasahi air mata dan fakir harta.


Setelah ketiadaanmu
aku masih tercari-cari
seorang wanita yang memiliki
kewanitaan selayaknya ibu
kepada anak-anakku.
Dapatkah aku?


Din SeriKandi
T.Intan

SAJAK - MALAYSIA BARU

APA KHABAR MALAYSIA

Apa khabar Malaysia, tanah warisan
Warga cemerlang penyumbang kesejahteraan
Setahun berlalu terlalu banyak persoalan
Yang belum dijawab
Yang belum disingkap.

Sesubur bumi Malaysia
Gejala sosial tak pernah surut
Membanjiri khalayak kita
Umpama api dalam sekam
Membakar dalam diam.

Apa khabar jalan raya kita
siang malam penuh sengketa
tahun demi tahun
memecah sejarah
keheningan pagipun pecah
darah mengalir
melimpah angka di Fallujah.
slogan demi slogan
kempen ‘ingatlah yang tersayang’
tak pernah lekang
yang maut
yang cedera parah
tak pernah berkurang.
- Jalan raya bukan lagi pengikat kasih keluarga.

Apa khabar Malaysia, negara tercinta
di sini berkampung warga dunia menumpang laba
datang tak dijemput
lorong pulang sentiasa terbuka
“kami rela sehidup semati bersamamu Malaysia,” kata mereka.
- Jangan nanti anak di riba mati tak makan -

Apa khabar anak Malaysia
Yang berbeza ideologi
menjunjung Rukunegara
berkongsi raya dan idea rumah terbuka
hayatilah lembut santun budaya
semerdu ‘Malaysia Sejahtera’
hargailah makna keamanan
dalam ikatan kukuh perpaduan
di samping sihat tubuh badan.
SELAMAT TAHUN BARU, MALAYSIA…


Disember 2007

SAJAK - PENGALAMAN MENGAJAR KITA JADI DEWASA

MENCARI MAKNA SEORANG PEJUANG

Tatkala sajak ini kutulis
kau telahpun di jemput
menemui-Nya.

Tandus padang pasir
tak mengeringkan bunga-bunga di pusara
tak mencairkan semangat jihad
dalam genggaman hasrat yang jitu
kental penuh tawakal.

Saat dibogelkan dengan aneka sekatan
dan pelbagai syarat perjanjian
terpenjara di laman sendiri
kau akur duduk bersimpuh
pasrah di meja diplomasi.
Di luar sana
jentera berat baru saja
meroboh dan memusnah
rumah-rumah yang tak menyimpan
sebarang dendam.

Kepulanganmu saudaraku ;
melorongkan kekuatan
roh perjuangan yang kau tinggalkan
pasti membara dan menyala
membakar dinding kesombongan
sebuah bangsa yang kontang budi
dan tandus siasah.

Ketabahanmu, saudaraku;
banyak mengajar aku
makna perjuangan yang abadi
pengorbanan yang hakiki.

Nyatalah
manusia semakin nipis
KEMANUSIAANNYA...

Berita Minggu
2007

SAJAK - APA KHABAR TANAH KITA

BAGAN DATOH


Bagan Datoh
kuselusuri daerahmu di suatu musim
awan mendung membawa khabar duka
kelapa tiada harga
jeti penambang merawat luka di bibir senja.

Bagan Datoh
suara engkaukah yang mengusik tidurku
tersendu di malam penantian
pada nikmatnya pembangunan.
Pun begitu
kau petani dan nelayan
masih gagah berdiri
di tengah keriuhan ICT
menyiram tanah tercinta
dengan peluh baktimu
sambil membilang bilah-bilah hari yang tak pasti
tanpa piket dan demontrasi.
2/2

Kini
Bagan Datoh kuselusuri lagi
luka di jeti kian sembuh
dalam wajah baru
ia menyapa
katanya:
di sini bakal bersinar mentari
meratakan cahayanya
malam tentunya tidur lena
siang berpesta suasana
bunga-bunga kemajuan
menggamit mesra.
Bagan Datoh
kulihat anak-anak
berlari meniti pelangi.

Mahayuddin Ibas
Karyawan Pk T.Intan